Anak Amy Search Meninggal Dunia

HASRAT penyanyi rock terkenal tanah air, Amy Search, untuk menimang cahaya mata keempat tidak menjadi kenyataan apabila bayi dalam kandungan isterinya, Norish Hassan, 37, disahkan meninggal dunia.

Difahamkan, pasangan ini kehilangan bayi mereka yang berusia 11 minggu itu pada Khamis lalu selepas doktor tidak dapat mengesan degupan jantung bayi.

Amy menerusi laman Instagramnya malam tadi telah berkongsi berita tersebut dan meluahkan rasa sedihnya dengan apa yang berlaku.

“Degupan itu akhirnya terhenti dan hilang dari pandangan. Alex, Sania dn Qaqa tertunduk saat mendapat berita ini. Qaqa menangis teresak-esak. Kini tiada lagi cerita baby yang bakal mereka miliki antara mereka.

“Moga kami semua reda dengan dugaan yang tak terpandang ini. Aku pasti dugaan itu datang bersama keindahan dan sabar itu sama seperti berbesar hati dengan dugaan-NYA.  AmeenYRA,” luah Amy pada status yang dimuat naik bersama sebuah video yang memaparkan sesi pemeriksaan doktor.

Pada perkongsian yang sama, penyanyi yang cukup dikenali menerusi lagu Isabella ini juga telah menulis kata-kata yang dedikasikan buat bayinya itu.

Terdahulu sebelum itu, Amy pada 24 Mei lalu telah mengumumkan tentang kehamilan Norish dan berkongsi kegembiraannya yang bakal menimang cahaya mata pada usia 61 tahun.

Amy dan Norish telah mendirikan rumah tangga pada tahun 2003 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Alexander Zulkarnain, 14, Sania Samara, 13, dan Qaqa At-Tameemi, 9 tahun.

Manakala dari perkahwinan terdahulu, Amy mempunyai dua anak perempuan iaitu pelakon Nabila Huda, 34, (perkahwinan pertama) dan Irisha Myra, 21, (perkahwinan ketiga)

Selain itu, Amy juga mempunyai seorang cucu, Keisha Laila, 7, yang merupakan anak tunggal Nabila Huda.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *