Rendang Tok

Sementara daging korban tengah banyak ni, hari ini saya memasak Rendang Tok walaupun saya tak boleh makan daging. Saya belajar resepi ini dari arwah Bonda Mertua di mana arwah mengajar saya dengan cara sama sama memasaknya di kampung setelah mengetahui yang saya sangat menggemari Rendang Tok. Sejak kawin tak pernah melihat Bonda Mertua menyediakan Rendang Tok. Setelah melihat saya sangat berminat untuk mempelajarinya, barulah kami memasaknya bersama sama. Kalau dulu, setiap kali balik beraya di kampung suami, kami pasti singgah di Bazar Ramadhan Batu Gajah untuk membeli rendang Tok. Harganya sangat mahal.

Sejak itu, beberapa kali juga saya memasak Rendang Tok ini bersama sama Sri Handayani, bekas Pembantu Rumah kami untuk majlis rumah terbuka dan juga untuk majlis di kampung saya menggunakan daging korban. Tapi masa tu, saya tidak pernah pulak mengambil gambar. Jadi inilah kali pertama saya menayangkan resepi Arwah Bonda Mertua.

Sebenarnya saya menggunakan periuk pressure cooker untuk merebus daging terlebih dahulu. Akibatnya rendang saya kelihatan kering tanpa lemak atau minyak kerana saya hanya menggunakan sedikit sahaja air rebusan daging tadi. Ianya tak keluar minyak seperti selalu. Keduanya saya merenih hanya 1 jam sahaja kerana anak anak hendak makan sebab mereka tidak mengambil sarapan. Sepatutnya daging direneh selama 3 jam kerana lagi lama dimasak, ianya akan menjadi bertambah gelap warnanya. Tapi boleh sahaja dipanaskan lagi sehingga menjadi kering dan hitam seperti Rendang Tok Perak. Lagi lama lagi bertambah gelap warnanya dan lagi sedap. Ketiga, saya memang tak menghiris halus terutama serai sebab tu masih nampak. Hahaha memang tak berapa sihat sikit. Terasa badan panas demam dan batuk batuk.

Apa apa pun, jom cubalah resepi tradisi negeri Perak ini. Memang sedap dan menjadi kesukaan saya sejak dulu. Hmmm apa lagi kalau dicicah dengan lemang atau makan dengan nasi minyak. Jom kita tengok resepi di bawah ini.

Bahan bahan:
2 kilo daging – potong kiub
5 biji kelapa (santan)
½ plastik kecil/1 ½ sb jintan putih) goreng tanpa minyak dan tumbuk
2 plastik kecil/6 sb jintan manis )
1-2 senduk cili giling- ikut pedas disukai
Kerisek – 1 biji kelapa
1 ketul gula melaka
2-5 helai daun kunyit – hiris
Lengkuas – mesin/perah air dan ambil hampas saja
Bunga lawang, kayu manis, buah pelaga
1 keping Asam keping
Sedikit belacan
Garam
Gula

Bahan hiris halus:
30 ulas bawang merah
10 bawang putih
5 cm halia
5 -7 batang serai

Cara cara:
Masuk semua bahan kecuali daun kunyit, asam keping, kerisik dan santan ke dalam periuk. Perap dengan daging selama dua hingga empat jam. Nota: saya guna pressure cooker untuk mengempukkan daging.

1. Masak dan didihkan perlahan-lahan hingga air kering. Baru dimasukkan santan.

2. Reneh selama 3 jam. Masukkan kerisik, gula melaka, gula dan garam. Kacau dengan kerap sehingga daging menjadi empuk, berwarna agak hitam dan kering. Kena selalu dikacau supaya tidak hangit.

3. Akhir sekali masukkan daun kunyit dan asam keping. Kacau lagi hingga rata. Sesuaikan rasa dan bolehlah diangkat.

Selamat Mencuba

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *