Luahan Ibu Adam Rayqal Meruntun Jiwa

“ADAM sayang. Sejuk ya dalam peti itu. Tak apa nanti masuk syurga semua indah-indah yang Adam dapat.

“Ingat pesan mama, jaga diri di sana. Nanti mama papa datang ya sayang, kita mandi buih lagi.

“Innalillahiwainnalillahirojiun. Terima kasih kepada semua kawan-kawan, saudara mara dan rakyat Malaysia semua kerana berusaha cari Adam dan doa baik-baik untuk Adam.”

Loading…

Begitu luahan Farah Madihah Othman, 28, ibu kepada bayi lelaki, Adam Rayqal Mohd Sufi Naief, lima bulan dalam status dimuat naik menerusi akaun Facebook miliknya, pagi tadi.

Usaha wartawan untuk menemuramah Farah Madihah serta suaminya, Mohd Sufi Naeif Mohd Fauzi, 28, gagal apabila mereka mengelak bertemu dan bercakap dengan wartawan yang berkumpul di perkarangan Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Malah, kenalan, ahli keluarga dan rakan sekerja Farrah Madihah yang juga jururawat di hospital berkenaan dilihat berkumpul di IPFN HKL seawal jam 9 pagi sebaik menerima berita kematian Adam Rayqal, semalam.

Menurut Abdul Rahim Ismail, 54, bapa saudara, Mohd Sufi Naief memaklumkan ahli keluarga mereka sedih dan marah dengan tindakan pengasuh terbabit.

Katanya, ibu bapa mangsa masih dalam keadaan lemah.

“Ibu bapa Adam ada meluahkan apa yang berlaku ini sudah termaktub dalam ketentuan takdir.

“Ketika saya menziarahi mereka, awal pagi tadi, atuk dan nenek Adam juga sudah tiba di kediaman Sufi di Taman Amaniah, Batu Caves, dari Terengganu, kira-kira jam 3 pagi tadi.

“Mereka juga luahkan rasa sedih dan marah dengan kejadian ini,” katanya ketika ditemui di IPFN HKL, hari ini.

Abdul Rahim berkata, sebelum ini, mangsa dijaga oleh ahli keluarga di Kuala Terengganu sebelum dia dijaga oleh pengasuh berkenaan kira-kira seminggu lalu.

“Saya difahamkan mereka mengenali pengasuh ini melalui Facebook dan kenalan.

Loading…

“Sufi memberitahu pengasuh itu sentiasa menghantar mesej kepada isterinya mengenai keadaan serta perkembangan Adam pada setiap jam sepanjang berada di bawah jagaannya,” katanya.

Ketika ditanya mengenai laporan bedah siasat terhadap jenazah Adam, Abdul Rahim enggan mengulas lanjut memandangkan kejadian itu masih dalam siasatan polis.

Farah dan Mohd Sufi Naief tiba di IPFN HKL pada jam 10.37 pagi dengan ditemani beberapa ahli keluarga bagi proses pengecaman serta bedah siasat.

Jenazah Adam selesai dibedah siasat pada jam 2 petang sebelum dimandikan dan disembahyangkan di surau IPFN HKL pada jam 2.15 petang.

Jenazah mangsa yang dibalut dengan kain batik dipangku Farrah Madihah menaiki kereta Honda Jazz bersama Mohd Sufi Naeif serta beberapa ahli keluarga untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Ladang Sekolah, Kuala Terengganu, Terengganu.

Kenderaan itu dilihat beredar dari IPFN HKL pada jam 3.06 petang.

Sumber: Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *